PELAKON juga pelawak terkenal, Zizan Razak menafikan tuduhan sengaja menunjuk-nunjuk apabila menghadiahkan ibunya, Anai Ibrahim dengan sebuah kereta berjenama mewah.
Zizan atau nama lengkapnya Mohd Razizan Abdul Razak, 40, berkata, pemberian kereta Mercedes Benz keluaran terbaharu tersebut bertujuan memenuhi impian ibunya yang ingin memiliki kenderaan jenama berkenaan.
Saya takut sangat nak cakap pasal harga kereta tu. Pada saya bukan harga dan kereta, yang penting, saya takut jadi riak bila bercakap tentang hal ini.
“Tapi salah satu sebab saya beli kerana ibu saya sudah lama mengidamkan kereta itu. Memang dia nak kereta model itu.
“Material bukan keutamaan untuk hiburkan atau buat ibu bapa kita tersenyum. Pada saya buat apa sahaja, janji mereka gembira,” kongsinya menerusi sebuah program hiburan.
Paling utama kata pelakon filem Polis Evo 3 itu, hargailah ibu dan bapa selagi mereka masih bernyawa dan mampu mendoakan kesejahteraan anak-anak.
“Masa saya hadiahkan kereta itu, saya nampaklah riak wajah ibu menangis apa semua, terharu sangat dapat realisasikan impian dia.
“Pesanan saya juga untuk mereka di luar sana, selagi ada ibu bapa jagalah mereka sebaik baiknya.
“Doa ibu sangat luar biasa, percayalah,” ujarnya.
Sebelum ini kecoh dalam media sosial apabila Zizan membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz GLC 300 kepada ibu tercinta.
Susulan itu, deretan netizen memuji sikap pelawak asal Terengganu itu yang sentiasa menghargai ratu hatinya, namun pada masa sama ada juga berpendapat Zizan sengaja menunjuk-nunjuk dengan hadiah mewah berkenaan.
Sumber – HIBGLAM via Kosmo Online
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply