Ini Luahan Peniaga Bazaar Hari Raya Terkenal Jalan Tar. Apa Yg Mereka Cakap Buat Ramai Sebak

“Saya sudah berniaga 10 tahun di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Tahun ini adalah paling teruk, pernah sekali dalam Ramadan kali ini hanya ada seorang pelanggan masuk,” kata peniaga baju Melayu, Rashid Dollah, 57.

Beliau berkata, satu daripada sebabnya ekonomi negara kurang memberangsangkan dengan harga barang keperluan semakin meningkat.

Rashid juga berpandangan, selain itu faktor kedua adalah penggal persekolahan baru dibuka jadi ibu bapa sudah banyak berbelanja untuk kelengkapan sekolah anak-anak.

“Mungkin ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah baru sahaja dapat menghela nafas panjang lega menyelesaikan tanggungjawab persekolahan anak mereka.

“Jadi mahu tidak mahu terpaksa sangat bersederhana untuk sambutan musim perayaan Aidilfitri kelak. Saya juga berpandangan cuaca panas pada masa ini menyebabkan lebih ramai mungkin memilih pasar raya yang sejuk dengan penyaman udara, berbanding membeli-belah di kawasan penjaja jalanan.

“Tahun lalu ok sikit berniaga, tahun ini memang betul-betul ‘down’ (menurun). Ketika pandemik COVID-19 memang tak dapat diambil kiralah memang teruk, tetapi selepas pandemik berakhir, masih tidak mencapai tahap prestasi perniagaan sebelum pandemik,” katanya.

Pandangannya itu turut dipersetujui peniaga pakaian raya wanita dan kanak-kanak, Alyaa Mazlan, 33, yang berasakan perniagaan untuk jualan persiapan Aidilfitri di Jalan TAR agak sendu.

“Tahun ini meniaga tak berapa memberangsangkan. Ramai orang beli TikTok agaknya untuk berbelanja di dalam talian sebab cuaca panas masa ini.

“Kena pula masa anak-anak baru masuk penggal persekolahan baharu perlu beli peralatan, buku dan baju seragam baharu.

“Dulu sehari sehingga 80 pelanggan, kini sehari purata 35 orang pelanggan. Jauh bezanya, sebab itu bagi saya nak memastikan terjual, kita bukan sahaja jual di Jalan TAR, malah live di TikTok dan sambutannya ok lah juga,” katanya.

Shukri Abd Rahman, 71, pula berkata jika sebelum ini hendak duduk berehat pun tak sempat kerana ramai berkunjung ke tapak jualan pakaiannya, namun sekarang dia lebih banyak duduk mengharapkan pelanggan masuk.

Namun, katanya, dia masih boleh bertahan berniaga kecil-kecilan dengan modal sederhana berbanding pihak peniaga yang mengharapkan pulangan tinggi kerana sudah mengeluarkan modal besar.

Sumber: BHARIAN ONLINE

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*