PELAKON Ellie Suriaty memberitahu dia sendiri yang meminta untuk bertemu dua mata dengan kekasih kepada bekas suaminya iaitu aktor Azri Iskandar yang dikenali sebagai Datuk Noora Kay.
Kata Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, selepas mengadakan pertemuan itu dia yakin wanita berkenaan mampu membahagiakan Azri di masa hadapan.
“Saya sendiri minta Datuk Ayu Puteh pertemukan saya dengan Noora dan kami cakap dari hati ke hati. Malam itu kami makan malam sekali dengan anak-anak dan itu satu perjumpaan yang harmoni.
“Memang betul sebelum ini Azri ada ramai teman wanita, tapi apapun dia akan bertanya pada saya, walaupun sudah berpisah kami tetap tanya pendapat antara satu sama lain untuk keharmonian anak-anak.
“Saya pernah cakap pada Azri saya tak setuju dengan pilihan dia sebelum ini, saya ada penilaian saya macam kena okay dengan anak-anak, teman wanita dia sebelum ini semua fake nak terima anak-anak, apa yang penting adalah keikhlasan,” katanya kepada mStar.
Ellie berkongsi perkara itu ketika ditemui sewaktu majlis rumah terbuka Terpaling Syawal mStar di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur pada malam Rabu.
Dalam pada itu, Ellie turut mendedahkan Azri bakal menamatkan zaman dudanya pada tahun ini.
Malah persiapan perkahwinan bagi pihak sebelah lelaki akan dilakukan sendiri oleh Ellie.
“Mereka sedang buat persiapan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat dan saya mewakili Azri bagi persiapan pihaknya.
“Azri dah jumpa keluarga Nora untuk merisik dan selepas ini terus menikah sahaja, kalau ikut pada perancangan pada tahun ini,” jelasnya.
Meskipun sudah tidak bersama, Ellie tetap memegang janji kepada arwah nenek Azri untuk menjaga bekas suaminya itu sehingga salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
“Kenapa saya jadi orang tengah Azri sebab dia tiada orang lain, Azri dibesarkan oleh nenek tapi nenek dia pun dah meninggal dunia.
“Janji saya pada nenek untuk kekal bersama sampai salah seorang antara kami mati, tapi saya tak dapat tunaikan janji itu sebab jodoh kami tak panjang.
Ellie ketika makan malam bersama Azri, Noora dan Ayu.
“Tapi saya boleh bantu untuk dia melangsungkan perkahwinan dengan orang lain, jadi saya masih pegang janji pada arwah nenek,” ujarnya.
Untuk rekod, Azri dan pelakon Ellie Suriaty bercerai talak satu pada 17 Mei tahun lalu selepas 19 tahun hidup bersama.
Pasangan it dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15.
Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 32, Farah Qistana, 30, dan Nur Anis Mastura, 28.
Sumber : MSTAR ONLINE
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply